Soalan:
Saya kini sedang sarat mengandung di mana usia kehamilan sudah masuk tujuh bulan. Perubahan berat badan membuatkan saya sukar bersolat secara berdiri dan akan mengakibatkan kaki sakit dan susah bangun jika melakukannya juga. Bolehkah wanita hamil bersolat secara duduk? Apakah kriteria yang membolehkannya? Terima kasih.

Jawapan:
Islam adalah agama yang memahami kesukaran yang kadang kala di hadapi oleh umatnya. Allah SWT berfirman: “Dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” [al-Hajj 22:78] Merujuk kepada ibadah solat, Allah berfirman: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring.” [‘Ali Imran 3:191]

Sebahagian ahli tafsir berpendapat ayat di atas antara lain merujuk kepada ibadah solat kerana solat itu sendiri satu bentuk ingatan dan sebutan kepada Allah. Maka jika seseorang itu sukar untuk solat secara berdiri maka dia solat secara duduk dan jika tetap sukar, maka dia solat secara berbaring. [Tafsir al-Qurtubi, 3/773] Kadar kesukaran yang membolehkan seseorang itu solat duduk atau baring berbeza-beza mengikut individu, yang penting dia bersikap jujur kepada Allah dalam mengukur kesukaran yang dihadapinya.

Di antara kesukaran tersebut ialah melaksanakan solat ketika sedang hamil. Orang yang hamil menghadapi kadar kesukaran yang berbeza-beza. Bagi sebahagian orang mereka tetap dapat melaksanakan solat seperti biasa sehinggalah ke saat bersalin. Sebahagian lagi menghadapi kesukaran, khasnya apabila memasuki trimester ketiga. Maka bagi kes ini, dibolehkan baginya untuk solat secara duduk.

Cara solat duduk ialah duduk secara bersila di atas lantai dengan menghadap kiblat. [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 1660] Rukuk dengan membongkokkan badan dengan kedua-dua tangan memegang lutut. Sujud adalah seperti biasa, namun jika mengalami kesukaran maka bongkokkanlah badan lebih rendah berbanding rukuk dengan kedua-dua tangan menyentuh lantai.

Jika sukar untuk duduk bersila, pilihan lain ialah duduk sepertimana duduk di antara dua sujud. Jika masih sukar, pilihan lain ialah duduk di atas kerusi. Pergerakan untuk rukuk dan sujud adalah sepertimana penjelasan di atas (duduk bersila).

 [Sumber]